Salam alayk. Saya ingin bertanya sesuatu. Mungkin soalan saya lebih kpd skop fiqh muamalat. Sekadar inginkan perkongsian ;) Apa pendapat akh tentang sesebuah syarikat insuran yg hendak menukarkan sistem nya kepada sistem takaful. Atau ada tak sumber"/dalil yg boleh sy rujuk mengenai isu ni? Syukran.

Persoalan insurans termasuk dalam isu fiqh muassirah (kontemporari) dimana ianya tidak dibincangkan atau tidak ada fatwa hukum mengenainya di zaman imam-imam mujtahid terdahulu. Ini kerana insurans pada masa itu belum wujud dan hanya dikenali pada masa kini selepas warga barat mengenalkan system insurans ini kepada duni. Maka isu insurans ini termasuk dalam persoalan ijtihadiyyah (pandangan/pendapat) para ulama’ kontemporari.
Ulama kontemporari terbahagi kepada tiga pandangan mengenai isu insurans:
1. Ulama yang mengharamkannya secara mutlak (jumhur/majoriti)
2. Ulama yang mengharuskannya dengan bersyarat.
3. Ulama’ yang mengharuskan semua insurans kecuali insurans nyawa.
Merujuk kepada soalan anda, maka pandangan yang digunakan yang bersesuaian ialah pandangan no. 2.
Soalan anda, yang saya fahami ialah asalnya syarikat insuran tersebut ialah syarikat insuran konvensional lalu ingin menukar kepada konsep insuran takaful. Jika benar, maka ianya menurut pandangan ulama’ no. 2 dibenarkan.
Menurut pandangan ulama’ ini, pada asalnya tidak boleh kerana mengandungi unsur riba’, gharar (tidak jelas) dan maisir (judi). Namun, melalui system takaful (tolong-menolong), maka konsep yang diharamkan itu akhirnya ditukarkan kepada sesuatu yang patuh syariah.
Penjelasannya agak rumit, namun ringkasnya; konsep takaful mengubah aqad insuran konvensional iaitu aqad Mu’awadah (pertukaran jual beli) kepada aqad Tabarru’ ( Derma dan sumbangan). Selain itu takaful juga menggabungkan beberapa aqad yang akhirnya menjadikannya patuh syariah.
Contoh gabungan beberapa aqad:
1. Takaful (Tabarru’ dan Wakalah)
Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil al-Ujr (sejumlah upah) untuk kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasar Ju'alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.
2. Takaful (Tabarru’ dan Mudarabah)
Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.
Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konvesnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru') atau (wakalah). Persoalan insuran ini agak panjang dan rumit untuk dijelaskan. Penjelasan saya itu hanyalah konsep ringkas. Fatwa kebangsaan juga melarang insuran konvensional & membenarkan sistem takaful. Allahua'lam

View more